Separuh Akhir Muzik Muzik 31 (2016)

Separuh Akhir Muzik Muzik 31 (2016)


PETALING JAYA: Peringkat separuh akhir Muzik-Muzik ke-31 bukan sekadar menyaksikan persaingan antara karya terhebat sepanjang tahun ini, malah ia juga bakal memperlihatkan kemunculan bekas pemenang Vokal Terbaik, Anugerah Juara Lagu (AJL) terdahulu.

Mereka yang dimaksudkan ialah Dayang Nurfaizah, Jaclyn Victor, Hafiz Suip dan Black.

Dayang yang bertanding menerusi lagu Lelaki Teragung pernah memenangi anugerah Vokal Terbaik selama dua tahun berturut-turut, masing-masing pada AJL 29 dan 30, manakala Jaclyn pula menjulang trofi berkenaan pada AJL 28.

Hafiz, antara penyanyi paling berjaya di pentas AJL, menyandang gelaran berkenaan ketika bertanding pada AJL 25, 26 dan 27. Seorang lagi bekas bintang realiti, Black, mengungguli kategori berkenaan pada AJL 24.

Walaupun berdepan persaingan sengit daripada penyanyi terbabit, menurut Dayang, beliau sebenarnya lebih bimbangkan persiapan untuk mengadakan persembahan pada peringkat separuh akhir itu sendiri.

"Sejujurnya, Dayang sangat teruja kerana kebanyakan artis yang layak ke peringkat separuh akhir ialah mereka yang pernah Dayang jumpa sebelum ini.

Masing-masing kembali untuk memeriahkan pertandingan ini.

"Dayang tidak mahu terlalu memikirkan soal kemenangan kerana apa yang lebih merisaukan, apa lagi kelainan yang boleh diketengahkan dalam pertandingan itu nanti.

"Dayang perlu kreatif supaya persembahan Dayang nanti dapat memberikan impak dan meninggalkan memori kepada penonton," katanya ketika ditemui pada sidang media pengumuman calon Separuh Akhir Muzik-Muzik 31 yang diadakan di Mutiara Damansara, di sini hari ini.

Sementara itu, sebanyak lima daripada 30 lagu dipertandingkan pada peringkat separuh akhir, yang akan bermula Jumaat ini, terpilih menerusi jalan pintas.

Pemilihan itu dibuat selepas kelima-limanya menjuarai showcase Muzik-Muzik 31 yang diadakan setiap bulan, mulai Mac lalu. Lagu itu ialah Hidup Dalam Mati (Syamel), Obses (Akim & The Majistret), Sudah Ku Tahu (Projector Band), Hang Pi Mana (Khalifah) dan Darah Muda (Bunkface).

Darah Muda yang menjuarai showcase bulan Mac bagaimanapun menarik diri pada saat akhir dan tempatnya digantikan dengan Demi Cinta nyanyian Ezad Lazim. Lagu lain yang melayakkan diri ialah Takkan Pergi yang akan dinyanyikan Hyper Act, Hancur Aku (Estranged feat Fazura), Terakhir (Sufian Suhaimi), Setia (Elizabeth Tan feat Awi Rafael), Katakan (Harris Baba), Mencinta (Azhael), Kekal Bahagia (Ippo Hafiz) dan Lelaki Teragung (Dayang Nurfaizah).

Bersaing sama Ragu-Ragu (Ernie Zakri feat Syed Shamim), Seperti Novel Cinta (Shiha Zikir), Cinta Sukar Ditafsirkan (Mal Imran), Mungkin Saja (Janna Nick), Berat (Mark Adam), Ada Saja (Aishah Bujang feat Juzzthin & Waris), Di Amarah Mama (Hazama), Polaroid (Sakura Band) dan Hingga Ke Jannah (Caliph Buskers).

Lagu lain yang turut berentap ialah Seindah Mimpi (Jaclyn Victor), Pencuri Hati (Ayda Jebat), Terimaku Seadanya (Misha Omar & Hafiz Suip), Selamanya Cinta (Shila Amzah & Alif Satar), Kalah Dalam Menang (Syamsul Yusof feat Mawi), Romeo (Stacy) dan Anugerah Terindah (Black).

Dikendalikan oleh Fizie Hot FM dan Fara Fauzana, pertandingan peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik 31 akan bersiaran pada 4 dan 11 November ini dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Sumber: Bharian
Separuh Akhir Muzik Muzik 31 (2016) Separuh Akhir Muzik Muzik 31 (2016) Reviewed by Bukan Cincai on 12:34:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.